Thursday, March 4, 2010

Artikel Learning Outcomes 6 : Raise the awareness of the bridging mechanism that facilitate educational transition for individuals with special needs.

ISU DAN CABARAN
Persoalan besar yang menghantui kanak-kanak berkeperluan khas adalah kesediaan seluruh masyarakat menerima anugerah Tuhan dengan rasa bersyukur, tidak merasa malu, mendiskriminasikan kanak-kanak istimewa dan yang penting adalah ibu bapa melaksanakan tanggungjawab seperti yang dilakukan pada kanak-kanak normal.
Banyak kajian lepas mengenai penerimaan ibu bapa kepada kanak-kanak istimewa mendapati tidak semua ibu bapa dapat menerima kehadiran anak istimewa (Belgrave 1991; Heinmann & Shontz 1992; Linkowski & Dunn 1994 dalam Mohd. Sharani 2004). Menurut Li, Moore & Dennis (1998), stigma sosial dan diskriminasi yang dilemparkan ke atas ibu bapa yang mempunyai anak istimewa seperti suatu sempadan yang menghalang ibu bapa menerima anak mereka. Manakala Nancy (1999) dalam Mohd. Sharani (2004) menyatakan bahawa stigma negatif yang dileparkan oleh masyarakat menyebabkan ibu bapa menjadi takut menerima kenyataan bahawa mereka adalah ibu ataupun bapa kepada kanak-kanak berkeperluan khas. Olshansky (1992) dalam Mohd. Sharani (2004) menyatakan bahawa perasaan ibu bapa yang memiliki kanak-kanak berkeperluan khas merasa tidak mampu melakukan apa-apa demi kesejahteraan anak itu.
Reaksi negatif yang ditunjukkan oleh ibu bapa kanak-kanak berkeperluan khas berhubung kait dengan tahap kehilangan kewibawaan identiti ( Whaley & Wong 1991 dalam Mohd. Sharani 2004). Menurut Mohd. Sharani (2004) faktor-faktor seperti terkejut, tidak percaya, hiba, marah, kecewa dan penafian banyak menjejaskan reaksi penerimaan ibu bapa yang mendapat kanak-kanak berkeperluan khas. Tidak kurang disebabkan oleh ketakutan pada penolakan sosial dan ketakutan hidup bersendirian (Prado 1991).
Jumlah kanak-kanak istimewa yang ada dalam sekolah negara Malaysia pada tahun 1999 adalah seramai 11, 861 orang iaitu 8557 orang di sekolah rendah dan 3304 orang di sekolah menengah. Menurut Mohd. Sharani (2004) cabaran-cabaran yang dihadapai bagi memastikan kanak-kanak istimewa mempunyai akses dan menikmati peluang pendidikan yang sama dengan kanak-kanak biasa adalah seperti berikut:
i. Peraturan-peraturan pendidikan (Pendidikan Khas 1997) perlu disemak semula bagi memastikan tiada wujud apa-apa sekatan kepada kanak-kanak istimewa.
ii. Program atau rancangan yang komprehensif dan berterusan perlu diwujudkan supaya sampai kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa supaya mereka mendapat maklumat dan kesedaran serta bersedia menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
iii. Kemudahan-kemudahan tempat belajar diperbanyakkan, diperlengkap dan diperluaskan bagi memudahkan ibu bapa kanak-kanak istimewa menikmati kemudahan pendidikan.
iv. Mekanisme yang mantap perlu diwujudkan bagi memastikan setiap kanak-kanak istimewa dapat didaftarkan.
Pendekatan pendidikan inklusif kepada kanak-kanak berkeperluan khas melibatkan usah mendidik kanak-kanak istimewa di sekolah dan kelas biasa oleh guru-guru biasa. Pendekatan ini membolehkan kanak-kanak istimewa bergaul dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran serta kehidupan sekolah dengan lebih berkesan dan bermakna. Menurut Mohd. Sharani (2004) berdasarkan falsafah itu, diharapkan objektif-objektif di bawah dapat dipenuhi:
i. Supaya pelajar-pelajar khas dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti pendidikan, sosial dan kerjaya.
ii. Supaya pelajar-pelajar khas dapat berkembang menjadi individu yang mempunyai keyakinan diri.
iii. Supaya pelajar-pelajar khas dapat pendidikan yang sama seperti pelajar-pelajar biasa yang lain.
iv. Supaya tugas mendidik dan mengajar pelajar-pelajar ini dapat dipikul bersama oleh semua guru serta masyarakat yang lain.

1 comment:

  1. Memandangkan kejayaan mengatasi disleksia banyak bergantung pada diri kanak-kanak disleksia itu sendiri, adalah amat penting mereka sentiasa ‘dibekalkan’ dengan pelbagai kisah kejayaan tokoh terkenal agar mereka tidak mudah berputus asa. Sebagai contoh, terdapat ramai di kalangan mereka yang mengalami disleksia sudah melakukan sumbangan yang besar dalam pelbagai bidang. Ada di kalangan mereka merupakan saintis, ahli politik, pengarah syarikat, doctor, atlet, penghibur terkenal dan arkitek.

    ReplyDelete